Friday 30 December 2016

Manfaat Bercerita sebelum Tidur

Ingatkah anda, dulu ibu bapa anda akan membacakan buku cerita untuk anda sebelum tidur? Bedtime stories atau cerita sebelum tidur memberi kesan yang besar terhadap perkembangan anak anda. Inilah juga masanya untuk anda meluangkan masa berkualiti bersama si manja.


Cerita sebelum tidur - jadikan amalan
Senario masa kini, kedua-dua ibu bapa lazimnya bekerja dan hanya sempat meluangkan masa bersama anak-anak mereka pada waktu malam terutama pada hari-hari biasa. Justeru itu, penting untuk ibu bapa mengamalkan rutin harian bersama anak-anak sebagai salah satu cara untuk memanfaatkan masa bersama si manja. Tambahan pula, kanak-kanak wajar dididik untuk mengikuti rutin harian bagi mendisiplinkan diri mereka selain dapat mengajar mereka untuk mematuhi jadual. Salah satu cara untuk meluangkan masa berkualiti bersama dengan anak-anak adalah melalui sesi bercerita sebelum tidur. Cerita sebelum tidur merupakan suatu proses yang memberikan memori istimewa buat anda dan anak, di mana ketika inilah si manja akan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap buku cerita yang anda bacakan, selain turut memupuk komunikasi dua hala di antara ibu bapa dan anak. Semasa bercerita, kanak-kanak akan turut serta dalam sesi tersebut dengan bertanyakan mengenai cerita yang dibacakan kepada mereka seperti, "Apa nama kakak Cinderella?" atau "Kenapa gigi serigala tajam?" Dengan cara ini, minda si kecil anda akan berfikir dan tidak takut untuk meluahkan pendapat.


3 manfaat cerita sebelum tidur
1, Membina daya imaginasi
Melalui pembacaan, kanak-kanak perlu membayangkan cerita kerana visual yang ditunjukkan berbentuk statik. Jadi si kecil perlu berimaginasi tentang perkara yang diceritakan seperti kancil sedang melompat di atas badan buaya dan sebagainya. Perkara ini dapat melahirkan kanak-kanak yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi apabila mereka semakin meningkat usia.

2. Erat hubungan
Bercerita sebelum tidur merupakan cara terbaik untuk anda membina hubungan erat dengan anak. Sesi ini dapat membantu anda mencipta ikatan istimewa antara anda berdua. Semasa anda bercerita, anda menyediakan diskusi terbuka kepada si kecil tentang karakter yang ada dalam cerita, gambaran lokasi cerita, bagaimana setiap karakter berinteraksi dengan satu sama lain, masalah plot dan penyelesaiannya serta pengajaran dan nilai penting yang terdapat dalam cerita tersebut. Inilah masa terbaik untuk anda mendengar pendapat anak anda dan mereka mendengar pandangan anda.

3. Persediaan membaca
Membaca sebelum tidur dapat mempersiapkan si kecil untuk mula membaca. Selain dapat memperkenalkan buku kepada mereka, anda juga berpeluang menyemai sikap cintakan buku terutama apabila anak anda mendapati kandungan yang terdapat dalam setiap buku berbeza dan menarik. Pada peringkat ini, minda mereka sedang berkembang dan inilah waktu yang penting untuk mendedahkan mereka kepada banyak buku, perkataan dan sebutan supaya si kecil anda dapat menguasai pembacaan.


Like our FB Page for updates : https://www.facebook.com/int3treesmartkids

Instagram : int3treesmartkids

Twitter      : https://twitter.com/Int3treeSmart
DOAKU DI MINGGU TERAKHIR TAHUN 2016 :
Ya Allah , Muliakanlah orang yang membaca doa ini , Lapangkanlah hatinya , Bahagiakan keluarganya dan Luaskan rezekinya seluas lautan yang engkau ciptakan . Mudahkanlah segala urusannya , kabulkanlah cita-citanya , jauhkan dia dari segala penyakit , fitnah , prasangka keji , berkata kasar dan jauhkanlah dia dari segala musibah , serta terimalah semua amal ibadahnya dan kelak jadikanlah dia sebagai penghuni SyurgaMu . آَمِيـٍـِـنْ ... آَمِيـٍـِـنْ ... آَمِيـٍـِـنْ يَآرَبْ آلٌعَآلَمِِيِنْ


Like our FB Page for updates : https://www.facebook.com/int3treesmartkids

Instagram : int3treesmartkids

Twitter      : https://twitter.com/Int3treeSmart

Wednesday 28 December 2016

Pilih Buku untuk Anak Prasekolah

Peringkat prasekolah adalah tempoh penting untuk perkembangan bahasa, jadi inilah masa yang terbaik untuk anda perkenalkan koleksi buku-buku khusus untuk kanak-kanak seperti buku bergambar, buku aktiviti ataupun buku bercerita yang menampilkan perkataan-perkataan baru dan yang menepati minatnya.




Buku jambatan ilmu

Buku merupakan hadiah terbaik untuk kanak-kanak bagi membantu perkembangan mindanya. Akan tetapi, amat penting untuk mendapatkan material pembacaan yang sesuai dengan minat, umur dan tahap pembacaan kanak-kanak. Di sekitar usia 3 atau 4 tahun, kanak-kanak mula seronok untuk mendapatkan buku cerita. Ketika itu, kemampuan pemerhatian mereka meningkat untuk mula memahami buku yang mempunyai perkataan dan gambar dengan plot cerita. Cerita dengan elemen fantasi seperti binatang yang boleh berkata-kata ataupun cerita dongeng akan meningkatkan imaginasi mereka. Justeru itu, ibu bapa perlu mengetahui pilihan buku yang tepat dan sesuai dengan peringkat umur anak mereka supaya minat membaca buku dapat dipupuk di kalangan kanak-kanak.

Sebelum anda mengunjungi kedai buku atau perpustakaan, berikut merupakan enam tips untuk memilih buku terbaik buat anak anda yang berada di prasekolah.

Buku bergambar
Bagi lingkungan umur kanak-kanak prasekolah, mereka memerlukan buku bergambar supaya anak kecil anda mempunyai gambaran tentang cerita yang dibaca. Selain itu, buku bergambar juga membuka peluang untuk anak anda bertanyakan soalan tentang gambar dan cerita yang dilihat dalam setiap halaman. Carilah buku yang mempunyai gambar besar dan berwarna-warni untuk menarik minat si kecil.

Karakter kegemaran
Apakah kegemaran si manja? Jika anak anda penggemar kartun seperti Upin Ipin, Tom & Jerry atau Dora the Explorer, hadiahkan buku yang mengandungi gambar kartun kegemarannya. Atau juga, jika anak anda menggemari kereta, belikan buku yang berkisarkan kereta.

Puisi/Sajak
Berikan buku bacaan yang mempunyai teks menarik untuk hiburan si manja seperti Hickory Dickory Dock, Humpty Dumpty Sat On A Wall, Lompat Si Katak Lompat dan Burung Kakak Tua. Buku puisi dan sajak kanak-kanak lebih mudah diingat kerana gaya bacaannya yang berima dan berlagu.

Cerita klasik
Masih ingat lagikah anda akan cerita Bawang Putih Bawang Merah, Aladdin dan Lampu Ajaib, Hensel and Gretel, The Ugly Duckling, Little Red Riding Hood, Snow White dan Cinderalla? Warnai dunia kanak-kanak si manja dengan cerita-cerita klasik dan dongeng yang pastinya dapat menarik minat anak anda.

Buku aktiviti
Buku aktiviti menyediakan kemahiran pembelajaran penting untuk kanak-kanak selain dapat memberi hiburan kepada mereka. Buku aktivit seperti buku pelekat dan buku padanan menjadikan anak-anak seronok dengan buku terutama apabila mereka berjaya melekat atau memadan dengan betul.

Kepelbagaian topik
Pelbagaikan bahan bacaan anak anda dengan memberikannnya  buku fiksyen dan bukan fiksyen untuk dibaca. Jangan anggap bahawa budak seusia prasekolah tidak sesuai untuk diberikan buku berunsur fiksyen. Buku fiksyen bukanlah bermaksud buku yang mengandungi banyak teks. Sebaliknya, cuba cari buku bergenre sains seperti buku yang memperkenalkan anggota badan manusia atau buku tentang tumbuh-tumbuhan.



Sumber: www.scholastic.com


Like our FB Page for updates : https://www.facebook.com/int3treesmartkids

Instagram : int3treesmartkids

Twitter      : https://twitter.com/Int3treeSmart

Sunday 18 December 2016

Apa yang Anak Anda Pelajari di Prasekolah

Tahun pertama anak anda di prasekolah adalah antara fasa penting dalam perkembangan kandak-kanak. Kemahiran yang dipelajari semasa tempoh ini mungkin kelihatan remeh namun peringkat ini juga bakal menjadi tunjang utama dalam pembelajaran anak anda.



Seronoknya bermain sambil belajar
Aktiviti seperti menyanyi, bercerita, menari atau melukis adalah sinonim dengan kanak-kanak prasekolah. Biarpun aktiviti ini nampak mudah, namun kesannya kepada perkembangan minda kandak-kanak amatlah tinggi. Kanak-kanak kecil akan belajar melalui bermain dan menjalani aktiviti kreatif. Jika anda lihat kanak-kanak prasekolah bermain membina blok atau menyusun jigsaw puzzle, usahlah menganggapnya sekadar suatu permainan kerana di sebaliknya, kanak-kanak ini sedang belajar cara untuk menyelesaikan masalah.

Di samping itu, prasekolah juga merupakan tempat untuk anak anda mengembangkan tabiat pembelajaran yang betul dan juga dapat meningkatkan pembelajaran kendiri yang positif pada diri kanak-kanak.

Kurikulum prasekolah
Terdapat banyak pilihan kurikulum prasekolah yang ada di Malaysia seperti kurikulum tradisional, Montessori, Waldorf, Reggio Emilia dan Antarabangsa. Setiap satu kurikulum menawarkan model pendekatan yang berbeza. Ada yang menjurus kepada akademik, permainan, cara pembelajaran kreatif, rutin kehidupan dan pelbagai pendekatan lagi.

Jika dahulu, ibu bapa banyak didedahkan dengan cara pembelajaran yang berkisaran ABC dan angka, namun proses pembelajaran di prasekolah pada hari ini adalah berbeza. Prasekolah kini menawarkan pelbagai model pembelajaran untuk menarik minat kanak-kanak. Justeru itu, ibu bapa perlu membuat pilihan yang bijak dengan mengetahui perbezaan dan pendekatan yang diamalkan oleh setiap kurikulum.


Jadual di prasekolah

Lazimnya, kanak-kanak akan mengikuti aktiviti-aktiviti berikut semasa di prasekolah.

Waktu                                                                    Aktiviti

7.30 Pagi - 12.30 tengah hari                               -Tiba di prasekolah
                                                                              -Bermain di luar
                                                                              -Masa bulatan
                                                                              -Snek pagi
                                                                              -Seni
                                                                              -Waktu bercerita
                                                                              -Masa berpusat

12.30 tengah hari - 2.30 petang                            -Waktu tidur

2.30 petang  - 6 petang                                          -Belajar fonik
                                                                               -Snek tengah hari
                                                                               -Bermain di dalam
                                                                               -Masa bulatan
                                                                               -Bermain di luar
                                                                               -Pulang


Masa bulatan dan masa berpusat

Antara sesi penting yang dilakukan di prasekolah ialah masa bulatan dan masa berpusat. Semasa masa bulatan, kanak-kanak akan diajar untuk mengenal pasti tempat mereka di dalam satu komuniti. Ketika ini, kanak-kanak akan belajar untuk berbincang tentang isu-isu yang diberikan oleh guru seperti apa aktiviti mereka semasa cuti, hobi atau cita-cita mereka. Setiap seorang kanak-kanak dalam satu bulatan berpeluang untuk meluahkan idea dan pendapat mereka di mana sesi ini amat penting untuk melahirkan kanak-kanak yang berani dalam menyuarakan kanak-kanak yang berani dalam menyuarakan pendapat selain membantu merangsang minda pelajar.

Sementara itu, semasa masa berpusat pula, kanak-kanak akan diajar untuk menumpukan kepada sesuatu aktiviti di lokasi tetap seperti pusat bercerita, pusat membina blok, pusat bermain muzik ataupun pusat melukis. Masa berpusat amat penting kerana dapat perkembangan motor, disiplin dan meningkatkan daya tumpuan.



Like our FB Page for updates : https://www.facebook.com/int3treesmartkids

Instagram : int3treesmartkids

Twitter      : https://twitter.com/Int3treeSmart


Saturday 17 December 2016

Sindrom Hari Pertama Sekolah

Hari pertama anak di nurseri, pusat pengayaan, prasekolah mahupun di sekolah merupakan hari yang mendebarkan untuk para ibu bapa. Mana tidaknya, pelbagai persoalan terlintas di fikiran ibu bapa seperti bagaimana keadaan anak pada hari pertama persekolahan, bolehkah dia menyesuaikan diri dengan rakan-rakannya atau pandaikah si kecil menggunakan tandas sekolah?




Sebelum hari persekolahan
Pada hari pertama persekolahan si manja, ibu bapa akan berasa gembira memikirkan si anak akan menempuhi suatu pengalaman baharu. Akan tetapi, pernahkah anda terfikir adakah si kecil anda bersedia untuk melalui pengalaman tersebut? Jangan terkejut jika anda dapati si manja anda tidak gembira dengan berita tentang keperluannya untuk hadir ke sekolah. Hal ini adalah sesuatu yang normal kerana ramai kanak-kanak akan berasa takut atau tidak selesa dengan keadaan baru dan asing bagi mereka.

Sebagai ibu bapa, menjadi tugas kita untuk membantu anak-anak melalui fasa transisi, terutama apabila melibatkan perkara baru di prasekolah, tadika, sekolah rendah, menengah mahupun kolej. Apa yang kita mahukan untuk anak kita adalah supaya meraka bergembira di sekolah dan dapat menyesuaikan diri dengan alam persekolahan.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa langkah dan perkara yang perlu diberi perhatian bagi menyediakan anak anda untuk ke sekolah, seperti bercerita tentang keadaan di sekolah dengan si kecil dan membantunya mengembangkan kemahiran-kemahiran asas yang perlu untuk persediaan ke sekolah.



Langkah-lamgkah membantu anak atasi sindrom hari pertama sekolah

1. Ceritakan tentang sekolah. Bawa anak anda ke sekolah barunya dan melihat persekitaran di sekolah bagi membantunya bersedia dengan keadaan di sekolah. Selain itu, perkenalkan juga si manja kepada bakal gurunya. Usah khuatir kerana kebanyakan sifat guru prasekolah adalah mesra kanak-kanak. Jadi, jika anda perkenalkan si manja secara face-to-face dengan gurunya, si manja akan lebih yakin, selesa dan tidak takut untuk ke sekolah.

2. Bantu si manja atasi rasa takut. Kenal pasti perkara apa yang ditakuti oleh anak anda seperti takut untuk mengenali kawan baru atau takut untuk pergi ke tandas. Jika anda dapat ketahui apa punca utama anak anda berasa takut, lebih mudah untuk anda membantunya mengatasi ketakutan.

3. Mulakan rutin harian persekolahan. Latih anak anda untuk mengikuti rutin yang biasa mereka lalui semasa hari sekolah seperti bangun awal pagi dan mengetahui pakaian yang perlu dipakai ke sekolah. Selain itu, ajar anak anda untuk tidur pada satu-satu waktu supaya dia mudah bangun pagi untuk ke sekolah.

4. Beritahunya tentang jadual yang akan diakui di sekolah seperti mengikuti kelas menyanyi, bersukan dan melukis.

5. Perkenalkan anak anda dengan kawan barunya semasa hari pertama. Atau mungkin, jika anda ketahui ada jiran anda yang akan menghantar anak mereka ke sekolah yang sama dengan si manja, berilah masa kepada anak anda bergaul dengan anak jiran sebelum hari persekolahan.


Like our FB Page for updates : https://www.facebook.com/int3treesmartkids

Instagram : int3treesmartkids

Twitter      : https://twitter.com/Int3treeSmart

Mengapa Pendidikan Awal Kanak-kanak Penting?

Lapan tahun pertama kehidupan kanak-kanak adalah tempoh yang penting untuk perkembangan otaknya. Ketika peringkat umur awal kanak-kanak, pembelajaran dan perkembangan mereka baik dari segi mental, emosi dan sosial adalah amat kritikal. Disebabkan itulah, pendidikan awal kanak-kanak dianggap sebagai pelaburan yang cukup penting oleh ibu bapa buat anak mereka.




Apakah maksud pendidikan awal kanak-kanak?
Menurut Persatuan Kebangsaan Pendidikan Kanak-kanak Kecil, pendidikan awal kanak-kanak didefinisikan sebagai program berkualiti tinggi yang dibuat untuk kanak-kanak dari lahir hingga usia 8 tahun. Di Malaysia, pendidikan awal kanak-kanak menggunakan istilah prasekolah, taska, tadika, atau tabika yang melibatkan kanak-kanak berumur di bawah enam tahun. Kanak-kanak di peringkat usia ini akan diajar oleh tenaga pengajar yang mahir dalam suasana pembelajaran yang sesuai dengan usia mereka.


Persepsi ibu bapa dulu & sekarang
Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan pendidikan asas yang kukuh kepada anak-anak mereka. Jika dahulu, pendidikan asas untuk anak-anak adalah semasa usia mereka enam tahun, iaitu sebelum mula bersekolah di darjah satu. Namun kini, ramai ibu bapa yang sudah mula 'celik mata' dengan memasukkan anak meraka ke prasekolah seawal usia tiga hingga lima tahun. Ibu bapa dahulu merasakan bahawa kanak-kanak sebelum enam tahun masih belum matang dan belum mampu menerima pelajaran yang diajar di tadika.

Berbeza dengan keadaan kini, di mana senario menghantar anak berusia empat dan lima tahun ke prasekolah adalah perkara yang normal. Malah, kesedaran ibu bapa tentang pendidikan awal kanak-kanak juga semakin meningkat dimana seusia bayi lagi ada ibu bapa yang memasukkan anak ke playgroup, pusat pengayaan dan prasekolah.


Kepentingan pendidikan awal kanak-kanak
Ramai pakar kanak-kanak yang bersetuju bahawa dengan menyertai pusat pendidikan awal kanak-kanak akan menyediakan mereka untuk ke tadika dan sekolah. Malah, banyak juga kajian yang membuktikan bahawa kanak-kanak pelajari banyak perkara di prasekolah. Di prasekolah jugakanak-kanak akan terdedah kepada pembelajaran nombor, huruf dan bentuk, iaitu perkara-perkara asas yang akan mereka pelajari di tadika. Selain itu, anak anda juga akan belajar cara bersosial dengan rekan sebaya, mahupun orang yang lebih besar dari merekan(guru). Lazimnya, semasa sesi bulatan (di prasekolah), anak anda akan belajar untuk bergaul dengan rekan-rekan, belajar berkongsi dan bertolak ansur.

Selain aspek sosial, kanak-kanak juga akan belajar cara menghormati orang dan penyelesaian masalah. Prasekolah menyediakan tempat untuk anak anda mengenal diri mereka, mengembangkan karakter positif dalam diri mereka dan meningkatkan keyakinan diri. Malah, jika anda perhatika, anak di usia empat hingga lima tahun mempunyai sifat ingin tahu, dan akan sering bertanyakan perkara-perkara di sekeliling mereka seperti mengapa burung terbang atau bagaimana ikan boleh hidup di dalam air. Kesimpulannya, banyak perkara yang anak anda akan pelajari di prasekolah terutama yang berkaitan dengan pembelajaran sendiri.


Like our FB Page for updates : https://www.facebook.com/int3treesmartkids

Instagram : int3treesmartkids

Twitter      : https://twitter.com/Int3treeSmart