Saturday 17 December 2016

Mengapa Pendidikan Awal Kanak-kanak Penting?

Lapan tahun pertama kehidupan kanak-kanak adalah tempoh yang penting untuk perkembangan otaknya. Ketika peringkat umur awal kanak-kanak, pembelajaran dan perkembangan mereka baik dari segi mental, emosi dan sosial adalah amat kritikal. Disebabkan itulah, pendidikan awal kanak-kanak dianggap sebagai pelaburan yang cukup penting oleh ibu bapa buat anak mereka.




Apakah maksud pendidikan awal kanak-kanak?
Menurut Persatuan Kebangsaan Pendidikan Kanak-kanak Kecil, pendidikan awal kanak-kanak didefinisikan sebagai program berkualiti tinggi yang dibuat untuk kanak-kanak dari lahir hingga usia 8 tahun. Di Malaysia, pendidikan awal kanak-kanak menggunakan istilah prasekolah, taska, tadika, atau tabika yang melibatkan kanak-kanak berumur di bawah enam tahun. Kanak-kanak di peringkat usia ini akan diajar oleh tenaga pengajar yang mahir dalam suasana pembelajaran yang sesuai dengan usia mereka.


Persepsi ibu bapa dulu & sekarang
Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan pendidikan asas yang kukuh kepada anak-anak mereka. Jika dahulu, pendidikan asas untuk anak-anak adalah semasa usia mereka enam tahun, iaitu sebelum mula bersekolah di darjah satu. Namun kini, ramai ibu bapa yang sudah mula 'celik mata' dengan memasukkan anak meraka ke prasekolah seawal usia tiga hingga lima tahun. Ibu bapa dahulu merasakan bahawa kanak-kanak sebelum enam tahun masih belum matang dan belum mampu menerima pelajaran yang diajar di tadika.

Berbeza dengan keadaan kini, di mana senario menghantar anak berusia empat dan lima tahun ke prasekolah adalah perkara yang normal. Malah, kesedaran ibu bapa tentang pendidikan awal kanak-kanak juga semakin meningkat dimana seusia bayi lagi ada ibu bapa yang memasukkan anak ke playgroup, pusat pengayaan dan prasekolah.


Kepentingan pendidikan awal kanak-kanak
Ramai pakar kanak-kanak yang bersetuju bahawa dengan menyertai pusat pendidikan awal kanak-kanak akan menyediakan mereka untuk ke tadika dan sekolah. Malah, banyak juga kajian yang membuktikan bahawa kanak-kanak pelajari banyak perkara di prasekolah. Di prasekolah jugakanak-kanak akan terdedah kepada pembelajaran nombor, huruf dan bentuk, iaitu perkara-perkara asas yang akan mereka pelajari di tadika. Selain itu, anak anda juga akan belajar cara bersosial dengan rekan sebaya, mahupun orang yang lebih besar dari merekan(guru). Lazimnya, semasa sesi bulatan (di prasekolah), anak anda akan belajar untuk bergaul dengan rekan-rekan, belajar berkongsi dan bertolak ansur.

Selain aspek sosial, kanak-kanak juga akan belajar cara menghormati orang dan penyelesaian masalah. Prasekolah menyediakan tempat untuk anak anda mengenal diri mereka, mengembangkan karakter positif dalam diri mereka dan meningkatkan keyakinan diri. Malah, jika anda perhatika, anak di usia empat hingga lima tahun mempunyai sifat ingin tahu, dan akan sering bertanyakan perkara-perkara di sekeliling mereka seperti mengapa burung terbang atau bagaimana ikan boleh hidup di dalam air. Kesimpulannya, banyak perkara yang anak anda akan pelajari di prasekolah terutama yang berkaitan dengan pembelajaran sendiri.


Like our FB Page for updates : https://www.facebook.com/int3treesmartkids

Instagram : int3treesmartkids

Twitter      : https://twitter.com/Int3treeSmart

No comments:

Post a Comment